Saturday, August 28, 2010

Peluh mengalir deras membasahi seluruh tubuh kecil yang sedang asyik membanting tulang empat kerat. Setiap kali titisan peluh itu mengalir meluruti dahi menuju ke kelopak mata, pantas dikesat dengan lengan bajunya. Rasa letih mula menjalar perlahan-lahan menyerap ke seluruh tubuh. Namun, tubuh kecil itu tetap menggagahkan diri untuk menghabiskan bakian kerjanya. Jika dituruti rasa letih dan penat itu mungkin akan mengakibatkan seisi rumahnya kelaparan.

“Pak Majid! Lidi yang telah diraut ni Kudin letakkan di atas para bawah rumah. Buah kelapa yang Kudin kutip tadi, semuanya Kudin kumpulkan di tepi tangga di belakang rumah sana” ujar Kudin sebaik sahaja usai kerjanya meraut lidi serta memungut buah-buah kelapa kepunyaan Pak Majid.

“Kudin! Ini duit upah untuk hari ini. Besok boleh tak Kudin tolong Pak Majid bersihkan kebun?” kata Pak Majid sambil menghulurkan sejumlah wang kepada Kudin.

“Insya Allah. Kalau mak Kudin tak sakit, Kudin datang bantu Pak Majid besok” balas Kudin. Setelah berjabat tangan, Kudin meminta izin pada Pak Majid untuk pulang ke rumahnya. Dengan secangkir senyuman ikhlas, Pak Majid membenarkan Kudin pulang. Selepas terungkap lafaz salam Kudin pun meninggalkan Pak Majid.


Kudin mendongak ke langit. Sang mentari yang garang membakar, betul-betul tegak di atas kepalanya. Suatu petanda menandakan bahawa waktu Zohor hampir tiba. Seolah-olah ia adalah satu suruhan tanpa suara kepada semua manusia yang beriman agar bersiap-sedia untuk menunaikan tiang agama. Langkah kaki yang disusun semakin pantas diatur. Menyusuri denai dan semak menuju ke pondok usang tinggalan Allahyarham bapanya. Sekalipun pantas, kewaspadaan terhadap rintangan yang sedia tersaji menjadi satu signifikan dalam dirinya. Kecelakaan mungkin boleh berlaku. Paku, duri dan kaca bakal tertusuk menembusi telapak kakinya andai dia tidak berwaspada dan berhati-hati. Rutin hariannya akan tergendala sekiranya hal sedemikian menimpa dirinya.

***********
“Assalamualaikum, Mak! Abang balik ni” laung Kudin memanggil ibunya.
“Waalaikumussalam. Anak mak dah balik. Masuk nak” jawab makcik Habibah, ibu Kudin. Dia hanya mampu menyambut kepulangan anaknya itu sehari-hari dengan kata-kata manis. Dia mengharapkan agar kata-kata itu menjadi pemangkin serta penawar keletihan anaknya. Kalau diikutkan hati dia tidak mahu mengizinkan anak sulungnya itu bekerja. Dia amat menginginkan Kudin mendapat pelajaran seperti anak-anak orang lain yang seusianya. Tapi kuasa Allah mengatasi segalanya. Dia kini lumpuh kedua-dua belah kaki akibat dari kemalangan yang dialaminya ketika Kudin masih berusia dua tahun dan Zubaidah anak keduanya berumur setahun. Kemalangan itu telah meragut nyawa suaminya yang merupakan ketua keluarga mereka. Tetapi dia yakin bahawa Allah s.w.t tidak bersifat kejam. Allah s.w.t tidak menzalimi keluarganya. Ujian yang dialaminya kini adalah tarbiah dari Allah. Ujian ini bukanlah satu penganiayaan tetapi satu penilaian dari Allah terhadap dirinya. Dia juga telah menitipkan keyakinan ini terhadap kedua-dua anaknya. Mereka anak-beranak redha dengan ketentuan Allah ini.

“Mak dah makan?” tanya Kudin sebaik sahaja kakinya melangkah masuk.
“Belum. Mak tunggu abang. Kita makan sama-sama ya”

“Baik. Em! Adik mana mak?”

“Ke belakang katanya tadi. Ambil batang lambok buat ulam” ujar Makcik Habibah.

Kudin melangkah keluar meninggalkan ibunya menuju ke belakang rumah mereka.

“Zubaidah! Awak buat apa tu?” tegur Kudin. Sejak dia pandai menyebut nama adiknya itu, belum pernah dia meringkaskan nama Zubaidah. Dia sangat menyayangi adiknya. Zubaidah juga senasib dengannya. Tidak mendapat pendidikan kerana kemiskinan keluarga mereka.

“Ambil lambok ni. Abangkan suka makan ulam lambok cicah dengan sambal tempoyak. Adik goreng ikan je hari ni. Tak sempat nak masak gulai. Tadi, asyik sangat berkebun sampai terlewat masak. Abang tak marahkan?” ujar Zubaidah sayu. Dia bimbang akan dimarahi abangnya.

Kudin menghampiri Zubaidah lantas mendakapnya dengan penuh manja. Diusapnya rambut halus Zubaidah perlahan-lahan. Dahi si adik dikucup. Ditatapnya wajah Zubaidah beberapa ketika. Kemudian diukirnya sekuntum senyuman untuk Zubaidah.

“Tak marah. Adik abang tak pernah buat abang marah. Tak ada gulai pun kita tetap makan jugak kan. Bukankah mak selalu pesan pada kita yang makan ni untuk hidup dan bukan hidup untuk makan. Adik abang ingat lagikan” tutur Kudin menyantun lembut.

“Adik ingat abang” balas Zubaidah.

“Em! Zubaidah tanam apa hari ini?” tanya Kudin.

“Kacang panjang dengan timun. Sedap ni kalau cicah dengan tempoyak” jawab Zubaidah sambil tersenyum bangga.

Kedua-dua beradik itu berjalan dalam pelukan melangkah masuk ke dalam rumah. Mereka kemudian makan bersama-sama. Tengahari itu mereka sekeluarga makan dengan penuh kemesraan. Kudin dan Zubaidah bergilir-gilir menyuap nasi ke mulut ibu mereka. Ibu lumpuh itu seakan terlupa akan kesempitan hidup mereka bila melihat telatah kedua-dua anaknya.

***********

“Siapa tahu apa maksud anak soleh?” tanya Ustaz Taufiq menguji kefahaman murid-muridnya. Semua muridnya terlopong sambil berpandangan sesama mereka. Tidak kurang juga segelintir dari mereka yang menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

“Nurul Husna! Boleh terangkan pada kawan-kawan apa yang Nurul Husna tahu tentang anak soleh?” soal Ustaz Taufiq kepada salah seorang muridnya yang sedang asyik membelek-belek kotak pensel. Dalam keadaan terpinga-pinga Nurul Husna senyum tersengih. Giginya yang rongak bahagian depan mengurangkan sedikit seri wajahnya. Ustaz Taufiq tersenyum. Dia faham benar dengan kerenah semua muridnya. Diajunya soalan yang sama kepada Abdul Rafiq pula. Abdul Rafiq merupakan murid yang paling nakal dalam kelas itu tetapi amat luas pengetahuannya. Ibunya juga seorang guru agama. Dia mengajar di kampung sebelah.

“Saya, kalau anak soleh tu tak tau la Ustaz. Tapi kalau anak Salleh tu saya kenal sangat” jawab Abdul Rafiq sambil tangnnya menunjuk ke arah Nur Shahirah. Nur Shahirah ialah anak Pakcik Salleh tukang gunting rambut kampung mereka. Dia terkejut. Kemudian terus menangis kerana kelas mentertawakannya.

“Tap! Tap! Tap!” bunyi rotan diketuk ke meja. Ustaz Taufiq mententeramkan kelasnya. Abdul Rafiq didendanya. Kemudian dia menjelaskan kepada murid-muridnya maksud anak soleh.

“Anak soleh ialah anak yag sentiasa patuh dan taat kepada perintah kedua ibu bapanya selagi mana mereka tidak menyuruh kepada perkara-perkara yang bertentangan dengan perintah Allah dan nabi kita Muhammad s.a.w” jelasnya.

“Kita tidak boleh melawan kata-kata ibu dan bapa kita. Nabi s.a.w bersabda : Keredhaan Allah itu terletak pada keredhaan kedua ibu bapa dan kemurkaan Allah itu terletak pada kemurkaan kedua ibu bapa” jelasnya lagi.

“Dan yang paling utama ialah anak yang soleh ini sentiasa mendoakan kebahagian kedua ibu bapanya di dunia dan akhirat” sambungnya lagi. Semua muridnya terdiam. Bermacam-macam reaksi dari mereka apabila mendengar penjelasan itu. Ustaz Taufiq mengerti keluh-kesah murid-muridnya.

“Kelas! Semua sekali tengok Ustaz?” pintanya.

Semua murid memandangnya. Dia membiarkan mereka terdiam sebentar. Sambil menarik nafas dia bertanyakan satu soalan kepada mereka.

“Awak semua sayang tak pada mak dan ayah awak?” soalnya.

“SAYANG” jawab mereka serentak.

“Awak semua nak tak mereka masuk syurga?” soalnya lagi.

“NAK”

“Jadi, kalau awak semua nak mereka masuk syurga, awak semua kena rajin-rajin belajar tentang Islam. Sebab anak yang sayangkan ibu dan bapanya mesti pandai tentang agama Islam. Agama Islam mengajar kita cara berdoa untuk kebahagiaan ibu bapa kita. Kalau awak semua nak pandai berdoa untuk mak dan ayah awak, mesti kena datang sekolah agama hari-hari. Inilah bukti kita cintakan mak dan ayah kita” jelasnya berjela.

“Apa bukti cinta kita pada mak dan ayah kita?” tanya Ustaz Taufiq pada murid-muridnya.

“KITA KENA DATANG SEKOLAH AGAMA TIAP-TIAP HARI SUPAYA KITA PANDAI BACA DOA UNTUK KEBAHAGIAN MAK DAN AYAH KITA, USTAZ” serentak dijawab oleh semua muridnya.

Kudin yang sedari tadi duduk di luar kelas menitiskan air matanya. Dia hanya mendengar pengajian itu dari luar kelas kerana tidak mampu untuk membayar yuran. Begitulah rutin hariannya hampir setahun. Selama itu juga tidak seorang pun menyedari kehadirannya. Dia juga tidak ingin kehadirannya diketahui. Bimbang mengganggu ketenteraman orang lain. Memang itulah hakikatnya. Kanak-kanak kampung itu tidak berapa suka berkawan dengannya. Malah mereka menggelarnya dengan gelaran Kudin Kurap. Dia sendiri sehingga kini masih memikirkan kenapa dia digelar “kurap” walhal setompok kurap pun tidak pernah bertunas di tubuhnya. Barangkali kerana pakaiannya yang lusuh menyebabkan dia dihina sedemikian.

Kudin mengesat air matanya. Otaknya berputar memikirkan kata-kata Ustaz Taufiq sebentar tadi. Bukti cinta seorang anak kepada ibu bapanya ialah hadir ke sekolah agama setiap hari. Kenapa? Supaya faham tentang agama Islam. Untuk apa? Untuk mengetahui cara mendoakan kesejahteraan mereka. Sekali lagi air matanya berderai ke pipi. Bagaimana mungkin untuk dia hadir ke sekolah setiap hari. Hendak membayar yuran pun dia tidak mampu. Hidupnya sekeluarga sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kalau setakat mendengar dari luar kelas sebegini bagaimana untuk dia lekas pandai berdoa. Belajar perlu diuji. Ujian untuk mengetahui tahap kefahaman seseorang. Itulah antara butiran permata bicara yang didengarinya dalam khutbah jumaat yang lepas. Dia tidak bisa diuji kalau tidak hadir ke sekolah seperti kanak-kanak seusianya.
Kudin terus menangis sambil meratapi takdir dirinya. Bukan menyesali. Tapi dia seorang kanak-kanak. Dia tidak setabah ibunya. Air matanya mencurah-curah. Tangisannya menyerap masuk ke dalam kelas tanpa ia sedari. Suara tangisannya telah menarik semua murid berlari meluru ke arah jendela.

“KUDIN KURAP!” jerit mereka serentak. Kudin terkejut dan cuba lari beredar. Akan tetapi langkah kakinya terhalang oleh suara Ustaz Taufiq yang memanggilnya. Ustaz Taufiq bergegas ke luar kelas mendapatkan Kudin.

“Siapa nama awak?” tanyanya pada Kudin.

“Fakhruddin bin Mansur”

“Tapi orang panggil saya Kudin” jelas Kudin.

“Tak mengapa. Kalau orang panggil awak Kudin biar Ustaz panggil awak Fakhruddin. Nama kita adalah doa” jelasnya.

“Kenapa Fakhruddin tak masuk kelas belajar bersama kawan-kawan lain” tanyanya pula.

“Saya tak ada duit untuk bayar yuran dan beli baju, Ustaz” jawab Kudin.

Ustaz Taufiq berfikir seketika. Dahinya berkerut. Dipejamkan matanya mengharapkan pertolongan daripada Allah s.w.t agar bisa dirungkaikannya masalah ini. Hati dan fikirannya berbicara rancak mencari jalan penyelesaian.

“Macam ni la Fakhruddin. Soal yuran tu awak tak perlu fikirkan. Taulah Ustaz nak uruskannya. Cuma tentang baju tu masalah sikit. Sekolah ni sentiasa dipantau oleh pegawai dari majlis agama. Mereka mahu semua murid di sini datang sekolah dengan pakaian seragam. Baju melayu putih sepasang serta sampin hijau dan bersongkok hitam. Ustaz tak mampu nak bantu awak beli baju tu” terangnya memberi jalan.

“Berapa harga baju tu Ustaz?” tanya Kudin.

“Ustaz tak pasti sebab ustaz tak ada anak lelaki. Setahu Ustaz kita kena tempah baju tu. Cuba awak tanya pada kedai Ah Seng di pekan” sarannya.

“Untuk pengetahuan Ustaz, saya bekerja mengambil upah membantu orang-orang kampung. Beginilah, mulai esok saya akan bekerja dengan lebih kuat. Walau apa cara sekalipun saya mesti dapatkan baju itu. Baju itu nanti akan menjadi bukti cinta saya pada mak dan ayah saya” ujar Kudin penuh bersemangat. Ustaz Taufiq sungguh terharu. Dia berdoa didalam hati memohon kejayaan Kudin.


***********

Sejak hari itu Kudin bekerja dari pagi hingga lewat petang. Berbagai-bagai kerja yang dilakukannya. Menebas, mengutip kelapa, membersih kolam ikan dan banyak lagi. Tujuannya hanya satu. Baju seragam sekolah agama. Dia mesti berusaha dengan sekuat tenaganya kerana Allah sentiasa bersikap adil terhadap hamba-hambaNya. Kurnia Allah setimpal dengan usaha hambaNya. Sekiranya kuat kita berusaha maka banyaklah yang akan kita perolehi hasilnya dan begitulah sebaliknya. Bak kata pepatah, dimana ada kemahuan di situ ada jalan.

Tiga minggu Kudin memerah keringat untuk mencapai cita-citanya. Hari ini dia akan ke kedai Ah Seng di pekan untuk menempah baju yang diingininya. Dia merasakan wangnya telah mencukupi. Sengaja dia tidak bertanya terlebih dahulu tentang harga di kedai Ah Seng seperti yang disarankan oleh Ustaz Taufiq. Upah selama tiga minggu kerja bermati-matian dirasakannya cukup untuk menempah baju seragam tersebut. Sebelum ke pekan dia bertemu dahulu dengan ibu dan adiknya Zubaidah untuk memberitahu hajatnya ini. Mereka berdua gembira mendengarnya.

“Zubaidah! Abang janji. Kalau abang dah masuk sekolah agama nanti, abang akan ajar adik apa yang abang belajar” ujar Kudin kepada Zubaidah.

“Terima kasih abang. Eh! Silap. Ustaz Abang” jawab Zubaidah sambil berseloroh mengusik abangnya.

“Ini janji abang, Zubaidah. Abang nak kita berdua jadi anak yang soleh” ujar Kudin bersemangat. Zubaidah mengangguk-angguk tanda faham dengan maksud abangnya.

“Adik jaga mak ya” pesan Kudin pada Zubaidah.

“Mak! Baju itu nanti akan menjadi bukti cinta dan kasih sayang abang pada mak, ayah dan adik. Mak doakan abang ya” kata Kudin pada ibunya.

“Mak sentiasa mendoakan kebaikan untuk anak-anak mak” jawab ibunya dengan linangan air mata kebanggaan.

Kudin pun meniggalkan ibu dan adiknya menuju ke pekan. Dalam perjalanan dia membayangkan betapa segaknya dia dengan pakaian seragam itu nanti. Dia semestinya puas. Pakaian seragam itulah tanda cintanya terhadap keluarganya. Dan yang paling membanggakan ialah dia mendapatkannya dengan wang hasil usahanya sendiri.

***********

“Tauke! Saya mahu tempah baju untuk sekolah agama. Berapa dia punya harga?” tanya Kudin kepada tauke Ah Seng.

“Oh! Lu budak. Gua ada kenai sama lu. Bapak lu punya nama Mansur kan?” tanya tauke Ah Seng.

“Ya la tauke. Macam mana tauke boleh kenal saya punya bapak?” tanya Kudin kehairanan.

“Gua ha. Sama lu punya bapak banyak baik dulu-dulu. Lu tadi mau tempah sekolah agama punya baju bukan. Dia punya halga RM35. Tapi itu mahal punya kain la. Kalau mulah punya kain gua kasi lu RM20. Tapi itu kain Melayu bikin bungkus olang mati la” jelas tauke Ah Seng.

“Itu songkok berapa harga dia tauke?” tanya Kudin sambil menunjuk ke arah songkok hitam di dalam almari kaca.

“Itu RM25 satu. Lu mau ka?”

“Mahal la tauke. Saya ada RM30 saja”

“Ini macam la budak. Gua punya anak ala ini songkok. Dulu dia ala masuk sekolah punya pancalagam. Sikalang tatak ala pakai lagi. Gua kasi lu angkat. Hadiah gua sama lu. Dia punya kepala sama lu punya kepala ala sama”

“Terima kasih tauke. Saya mau angkat kain yang murah punya. Lebih duit ni saya bikin belanja”

“Banyak bagus la itu macam. Sini mali. Gua kasi ukur lu punya badan dulu” minta tauke Ah Seng. Sambil mengukur dia rancak bercerita itu dan ini tentang bapa Kudin. Ternyata mereka terlalu akrab suatu masa dulu.

“Lagi satu minggu lu latang sini kasi angkat lu punya baju. Itu jam juga lu boleh masuk sekolah agama” beritahu tauke Ah Seng.

“Terima kasih tauke. Ini baju tanda cinta saya pada saya punya mak, ayah dan adik saya”

“Banyak baik lu punya hati. Saya banyak suka dapat jumpa lu ini hali”

“Terima kasih tauke. Saya balik dulu”

Kudin terus berlari pulang ke rumahnya kerana terlalu gembira. Dia perlu segera sampai ke rumah untuk berjumpa ibu dan adiknya. Mereka juga harus merasai sama berita gembira ini.

“Hoi! Budak. Jangan lali. Jalan pun lu boleh sampai rumah” jerit tauke Ah Seng kepada Kudin dari dalam kedainya. Kudin berpaling sambil melambai-lambai tangannya kepada tauke Ah Seng.

“BANG!!!”

Dengan tidak semena-mena muncul sebuah kereta yang bergerak laju menghala ke arah Kudin serta melanggar tubuh kecil itu. Hentakkan yang kuat menyebabkan Kudin tercampak 30 meter ke hadapan. Tauke Ah Seng yang melihat kejadian itu di depan matanya menjerit sekuat hati. Dia kemudian berlari ke arah Kudin. Kudin yang ketika itu tercungap-cungap tanpa sebarang suara. Tauke Ah Seng memangku kepala Kudin yang diselubungi darah di atas pahanya. Dia berteriak kepada orang ramai supaya menahan mana-mana kereta untuk membawa Kudin ke hospital berdekatan.

Darah yang mengalir deras terus-menerus keluar dari mulut, hidung dan mata selain melalui bahagian kepala Kudin yang luka parah. Kaki dan tangannya terkulai. Kudin berdengkur. Dari perlahan bertukar kuat. Kemudian keluar darah berbuih dari mulutnya. Selepas itu tiada lagi sebarang tindak balas dari tubuh kecil itu. Kudin tidak bergerak. Nafas yang tadinya tercungap-cungap kini telah terhenti. Terhenti untuk selamanya. Orang ramai yang mengerumuninya menggeleng-gelengken kepala. Kudin telah pergi menemui Tuhannya.

***********

“Mana la abang kamu ni Zubaidah? Dah nak masuk Asar masih tak balik-balik lagi” rungut Makcik Habibah.

“Entahlah mak. Biasanya sebelum sampai Zohor abang dah ada di rumah” jawab Zubaidah.

“Eh! Mak. Tengok sana tu. Ada van masuk ke rumah kita” kata Zubaidah.

Makcik Habibah kaget. Dia tergamam melihat sebuah van menghala ke rumahnya. Dia kenal benar dengan van itu. Van jenazah hospital. Zubaidah hanya memerhatikan van itu sehingga berhenti di hadapan pintu rumahnya tanpa mengerti seperti ibunya. Keluar dua orang lelaki dari van tersebut menuju ke depan pintu rumah mereka.
“Assalamualaikum!” salah seorang dari mereka memberi salam.

“Waalaikumussalam” jawab mereka berdua.

“Makcik ni ibu Fakhruddin ya?” tanya lelaki yang seorang lagi.

“Ya” jawab Makcik Habibah.

“Kami harap makcik banyak-banyak bersabar. Anak makcik Fakhruddin kemalangan. Dia dah meninggal. Ni kami datang hantar jenazahnya” jelasnya.

“Tauke Ah Seng yang tunjukkan kami jalan ke mari” ujar lelaki yang memberi salam tadi.

Zubaidah terus mendakap ibunya serta menangis sebaik sahaja mendengar kata-kata lelaki itu. Mereka dua beranak berpelukan menangisi pemergian Kudin.

Jenazah Kudin dibawa masuk ke dalam rumah kecil mereka. Jenazahnya diletakkan ditepi pembaringan ibunya. Ibu lumpuh itu memeluk erat anaknya yang tidak lagi bernyawa. Dikucupnya kedua-dua belah pipi dan dahi jenazah anaknya itu. Kemudian diikuti oleh Zubaidah melakukan seperti apa yang dilakukan oleh ibunya. Lama dia mendakap. Dia tidak mahu melepaskan pelukannya. Makcik Habibah menenangkan anak perempuannya itu. Zubaidah mengalah dengan kata-kata ibunya. Dia terusan menangis dipangkuan ibunya.

“Nyonya! Ini kain lu kasi bungkus lu punya anak. Tadi sebelum kena langgar dia ada bili dekat gua punya kedai” kata tauke Ah Seng sambil menghulurkan kain putih yang dibeli oleh Kudin di kedainya. Makcik Habibah menyambut kain putih itu. Dia kemudian mengucup kain itu beberapa kali. Kain yang ingin Kudin jadikan baju melayu itu akan digunakan sebagai kain kapan jenazahnya. Kain putih yang ingin dijadikan bukti cintanya kepada ibu, bapa dan adiknya kini menjadi pembalut tubuhnya bertemu Allah cinta yang hakiki.

Cinta Itu Buta,Pekak Dan Bisu......



Hakim memerhatikan ladang kelapa sawit Syed Ariff yang saujana mata memandang. Berdiri di atas kawasan tanah yang agak tinggi, dia memutarkan pandangannya 360 darjah untuk melihat kawasan sekeliling. Masya Allah, Subhanallah, memang luas dan subur. Dia tahu, selama ini ladang Syed Ariff merupakan ladang yang termaju di daerah itu.

Tiada yang dapat menandinginya dan kekayaan Syed Ariff yang semakin hari semakin bertambah berkat ketulusan dan sikap pemurah Syed Ariff dengan semua insan tanpa mengenal pangkat dan kedudukan. Benarlah janji tuhan dalam firmanNya yang bermaksud,


'Sekiranya engkau bersyukur, maka kami akan menambahkan lagi rezekimu, namun sekiranya kamu kufur ketahuilah sesungguhnya azab Kami amat pedih'

5 tahun di luar negara membuatkan dia rindu dengan ladang luas ini. Kepulangannya kali ini adalah untuk selama-lamanya. Di sebelah kanan ladang ini, Syed Ariff telah memperuntukkan kawasan seluas beberapa ekar untuk dibuat kebun bunga dan Hakim belum pernah menjejakkan kaki ke situ. Dia berhajat untuk melawat kawasan itu juga.

Hakim menapak ke arah kebun bunga yang diwar-warkan oleh kebanyakan pekerja sebagai kebun tercantik yang pernah mereka lihat. Hakim perlu menilai sendiri semua itu. Dan anehnya, kata mereka, mereka tidak tahu siapa yang menjaga kebun itu sebaik dan secantik itu kerana penjaga kebun itu tidak pernah keluar di khalayak. Dan Hakim merasa bertambah aneh apabila tiada sesiapa dibenarkan berada berdekatan dengan kawasan kebun itu di waktu malam.

Hakim teruja untuk menyelidik sendiri hal itu. Benarkah begitu? Kenapa mesti bersembunyi?

Hakim semakin menghampiri kawasan itu, dan dia terserempak dengan seorang lelaki separuh umur yang sedang membawa cangkul di bahunya.

"Assalamualaikum syeikh," tegur lelaki tua itu dengan wajah yang berseri-seri.

Hakim terpegun melihat keceriaan di wajah itu seolah-olah dia tidak pernah bersusah.

"Waalaikumussalam. Pakcik siapa?" tanya Hakim ramah. Lelaki tua itu tersenyum, keikhlasan terpancar di segenap wajahnya.

"Saya pekerja di sini. Syeikh siapa?"

"Saya Syed Hakim, anak Syed Ariff," jawab Hakim, perlahan. Tidak mahu riak terselit dalam bicaranya.

"Oh, yang baru pulang dari luar negara tu?" ujar lelaki tua itu sendiri dan perlahan. Hakim cuma tersenyum. Tiada apa yang patut dibanggakan baginya.

"Alhamdulillah pakcik. Ada rezeki saya," ujar Hakim.

"Betul, rezeki manusia ada di mana-mana, terpulang bagaimana kita mencarinya," ulas pakcik itu.

"Siapa nama pakcik?"

"Saya Habibullah. Panggil Pak Habib saja," jawabnya beserta senyuman di wajahnya.

Hakim mengangguk sendiri. Dia ini 'Kekasih Allah'. Dia menyimpulkan.

"Pak Habib baru di sini?"

"Ya, saya bekerja di kawasan ini, di sekeliling kebun ini."

"Oh begitu. Boleh saya tanya? Siapa yang menjaga kebun ini? Dengarnya dia tidak keluar dikhalayak. Kebun ni juga ditutup di waktu malam. Pak Habib tau mengenai hal ini?" tanya Hakim.

Pak Habib diam, seakan-akan memikirkan sesuatu dalam. Dia merenung dalam mata Hakim sehingga membuatkan Hakim tertanya-tanya salahkah bicaranya sebentar tadi? Adakah dia telah mengguris hati Pak Habib tanpa disedari?

"Penjaga kebun ini tidak keluar bertemu orang kerana dia buta, pekak, dan bisu," jawab Pak Habib, lambat-lambat namun mendalam.

Hakim terdiam mendengarnya. Dia merenung wajah tua itu, mencari-cari sesuatu yang akan memberitahunya bahawa dia sedang dipermainkan namun wajah itu tetap serius, tenang dan ceria seperti tadi.

"Betul pakcik? Mana pakcik tahu?" tanyanya lagi, meminta kepastian.

"Syed Hakim, Pak Habib ada kerja. Minta diri dulu. Assalamualaikum."

Belum sempat Hakim memberi keizinan, Pak Habib telah berlalu meninggalkan Hakim termangu-mangu. Buta, pekak dan bisu? Biar betul? Pak Habib ni tipu ke apa? Hakim terus-menerus memikirkan kembali kata Pak Habib yang tadi. Masih tidak dapat menerima rasional perkara itu. Lama dia di situ, sebelum dia meneruskan langkahnya ke arah tujuannya sebentar tadi. Dia perlu tahu setakat manakah kebenaran kata-kata Pak Habib.

Semakin dia menghampiri, Hakim sudah dapat menghidu bau haruman bunga yang menyegarkan dan menusuk ke hidung. Wanginya tidak terkata. Kebun itu dibina di dalam sebuah ruang yang berbumbungkan dan berdindingkan jaring hitam. Ada pintu yang berupa celahan tanpa jaring yang dikhaskan supaya pengunjung dapat keluar dan masuk dari satu jalan sahaja.

Hakim sudah berdiri di hadapan pintu kebun itu dan dia melangkah masuk. Hakim terpegun seketika. Subhanallah, dia memuji-muji di dalam hati. Kebun itu begitu indah, benar apa yang dikatakan pekerja di situ. Bunga pelbagai jenis ditanam di situ. Pelbagai rupa dan warna juga bau. Ada yang tergantung, yang di tanam di atas tanah dan juga disusun di para. Pengunjung perlu mengikuti laluan yang dibuat khas yang dibuat disekeliling kebun itu.

Hakim berjalan mengikut langkah kaki, tiada apa yang melekat di fikirannya kerana yang dia tahu tempat itu ibarat syurga sekiranya ia boleh dianggap begitu. Fikirannya lapang selapang-lapangnya. Air terjun buatan yang kecil dan unik juga dibuat di beberapa sudut. Ada juga tanaman hiasan lain yang menghiasi sudut-sudut seperti bonsai dan kaktus. Serangga bertebaran riang. Rama-rama berterbangan riang tiada gundah.

Apa yang dia tahu, kebun itu ibarat taman bunga yang sungguh indah yang wujud cuma dalam khayalan. Keindahannya tidak tergambar, dan ada ketenangan yang mengiringi setiap inci indah taman itu. Siapakah yang menjaga kebun ini? Mustahil dia buta, pekak dan bisu. Kebun ini tidak mungkin terjaga indah sekiranya benar penjaganya begitu.

Hakim melepaskan lelah di bangku kecil yang disediakan sambil menghayati deruan air yang menjadi muzik menghiburkan pengunjung taman. Hakim memejamkan matanya, cuba menghayati keindahan taman itu dengan segenap inci akalnya. Tenang dan damai. Itulah rasa yang meresap jauh ke sehingga ke lubuk hatinya. Selama ini, bukan dia tidak pernah mengunjungi taman-taman bunga terutamanya semasa dia di luar negara. Hampir semua taman bunga yang ada dia telah kunjungi namun taman ini sungguh berbeza.

Ada sesuatu yang mengiringi keindahan taman ini, sesuatu yang dia sendiri tidak pasti apakah itu. Dia mesti mencari penjaga kebun ini.

Mesti.

Hakim memasang tekad di hati, sambil memerhati seekor labah-labah kecil meniti atas sekuntum bunga mawar. Mawar indah.


"Abi, Hakim nak tanya sikit," Hakim memulakan sebaik mereka selesai solat isyak berjemaah malam itu.

Syed Ariff mengangkat muka, memandang ke wajah anak lelaki sulungnya. Anak yang menjadi penguat semangatnya sejak kematian isteri 10 tahun yang lalu. Anak yang menjadi kebanggaannya.

"Apa dia?" lembut dan tenang suara itu berbicara.

Hakim menunduk. Berat mahu memulakan. Akankah dia mendapat jawapan kepada persoalannya?

"Abi, Hakim dah melawat kebun bunga abi," Hakim memulakan.

Dia menelan liur. "Ya? Apa pendapat Hakim?"

"Taman itu taman yang paling cantik dan tenang yang Hakim pernah kunjungi. Hakim tertanya-tanya apakah yang membuatkan kebun itu istimewa walhal luarannya sama seperti kebun yang lain," ujar Hakim, memberi pendapat.

Syed Ariff mengukir senyum nipis. Reaksi itu sudah dijangkakan. "Jadi? Apa yang Hakim nak tau?"

"Err, Hakim ada bersembang dengan Pak Habib dan Hakim tanyakan pada dia, siapa penjaga kebun tu."

"Apa jawab Pak Habib?"

"Katanya, orangnya buta, pekak, dan bisu. Betul abi? Dan sebab tu dia tak pernah keluar di khalayak."

Syed Ariff tersenyum lagi. "Betul, dia buta, pekak dan bisu," Syed Ariff mengiyakan.

Hakim tergamam. "Tapi macam mana dia boleh jaga kebun itu seindah dan sebaik itu kalau betul dia buta, pekak dan bisu?" ujarnya lagi, meluahkan rasa hairan yang berbuku di dada.

Syed Ariff mengukir senyum nipis lalu meletakkan tangan kanannya di bahu Hakim. Hakim tersentak sedikit kerana seakan ada sesuatu yang mengalir dari tangan ayahanda tersayang. Rasa kasih seorang ayah.

"Hakim, dalam dunia ni, ada sesetengah benda Hakim perlu cari sendiri jawapannya. Dan bila Hakim dah dapat jawapannya, mungkin Hakim tak pernah jangka yang Hakim akan memperoleh kebaikan dari situ. Siapa tahu, dunia ini dan ciptaanNya, penuh rahsia. Abi serahkan pada Hakim untuk mencari jawapan kepada semua ni. Bila Hakim dah tahu, beritahu abi."

"Tapi abi..."

"Ingat Hakim. Setiap persoalan pasti ada jawapannya dan jawapan itu lebih indah jika kita mengetahuinya dari usaha kita sendiri," Syed Ariff bingkas lalu melipat sejadahnya. Hakim masih di situ, memikirkan erti kata-kata ayahnya.





Hakim berdiri di beranda rumahnya yang tersergam indah dan mengambil sebahagian kecil tanah di ladang luas itu. Dia memandang ke langit, di fikirannya pertanyaan itu masih belum terjawab. Siapa dia? Siapa dia yang menjaga kebun itu sebaik itu?

Hakim membuang pandang ke kejauhan. Bagaimana caranya untuk dia mendapatkan jawapan kepada semua itu? Ilham Allah tercetus di minda secara tiba-tiba. Hakim teringat yang kebun itu menjadi kawasan terlarang di waktu malam. Mungkinkah dia keluar di waktu malam? Dan untuk mengelakkan pertembungannya dengan orang lain, para pengunjung dilarang ke situ pada waktu malam. Mungkinkah? Hakim tahu dia perlu ke situ untuk mencari jawapannya.

Dia mencapai kunci motor dan dia melangkah keluar dari rumahnya. Syed Ariff yang sedang membaca akhbar tersenyum sendiri melihat Hakim yang tergesa-gesa keluar. Syed Ariff mencapai telefon lalu didailnya nombor seseorang. Sebentar kemudian, terdengar bicaranya.

"Habib, Hakim dah keluar. Perhatikan dia," ringkas tapi penuh makna.

Hakim menyusuri lorong di ladangnya sehingga dia menghampiri tepi jalan yang akan membawanya ke kebun itu. Dia memberhentikan motornya lalu ditongkatkan. Langkah kaki diatur pantas namun berhati-hati bagi mengelakkan kakinya tersadung apa-apa di atas tanah. Dari kejauhan, kebun itu yang disimbahi cahaya dari lampu di luar dan dalam kelihatan bercahaya. Dan ketenangan itu meresap kembali.

Hakim semakin menghampiri. Dan tiba-tiba langkah kakinya terhenti apabila dia cuma beberapa langkah sahaja lagi dari pintu. Telinganya menangkap alunan sesuatu dan jantungnya berdegup kencang. Hakim terkedu. Alunan itu sungguh indah dan lagunya begitu meresap ke dalam jiwa. Bukan alunan lagu terbaru dari radio-radio, tetapi alunan ayat suci Al-Quran yang begitu indah dan menusuk sekali. Suara yang mengalunkannya juga kedengaran begitu tenang dan mendamaikan.

Seperti tiada gundah dan hidup ini begitu indah. Siapakah dia?

Hakim mengatur langkah perlahan, dia mahu bersemuka dengan empunya suara itu, dan dia tidak mahu mengejutkannya. Hakim melangkah masuk ke taman itu sambil matanya cuba mencari arah datangnya suara itu. Dia menapak perlahan sehingga matanya tertangkap kelibat seseorang yang berdiri di sebalik bunga-bunga Anggerik dan Orkid yang tergantung dalam jarak 5 meter darinya.

Matanya cuma dapat melihat separuh sahaja susuk itu kerana ianya terlindung dek pokok-pokok hiasan. Seorang perempuan seperti yang dia jangkakan. Alunan itu masih kedengaran dari arahnya. Memang dia yang mengalunkannya. Kali ini alunan itu lebih jelas. Alunan surah an-Nisa'.

Hakim mengunci bibir, menghayati bacaan itu. Mengamati susuk itu yang berkelubung dari atas sampai ke bawah. Kelihatannya dia sedang menyiram bunga dengan paip. Hakim tidak berani mendekat lagi. dia memeluk tubuhnya. Dan tiba-tiba, gadis itu berpusing menghadap ke arah Hakim. Hakim tergamam melihat seraut wajah itu yang bertutup sehingga cuma menampakkan matanya. Mata yang memancar cahayanya, menyilaukan ketenangan.

Gadis itu tidak menyedari kehadirannya. Masih leka menyiram bunga-bunga dan tumbuhan di situ. Suara itu masih kedengaran biar bibir yang mengalunkan tidak kelihatan. Hakim terkedu. Siapa dia?

"Hakim!" Hakim tersentak mendengar suara itu.

Gadis itu yang turut mendengar suara itu mengangkat matanya. Jelas dia terkejut dengan melihat Hakim. Alunan itu terhenti. Hakim memandang ke sebelah kanannya sebelum mengalihkan pandang ke arah itu kembali namun dia sudah tiada. Ke mana dia?

"Hakim, kamu buat apa di sini?" tanya Pak Habib.

Hakim termangu-mangu. Mencari-cari kelibat itu namun sudah tidak kelihatan. Dia tahu dia tidak bermimpi.

"Kamu cari siapa?" tanya Pak Habib lagi setelah soalan pertamanya terbiar sepi.

"Perempuan tu. Pak Habib kenal dia?" tanya Hakim. Matanya masih melilau ke segenap sudut yang kelihatan di mata kasarnya namun dia sudah menghilang.

"Perempuan mana?" Hakim terkedu. "Pak Habib, perempuan yang siram pokok tadi kat sana tu. Dia pakai purdah. Dia baca surah an-Nisa'. Takkan Pak Habib tak dengar tadi?" tanya Hakim tidak percaya.

Pak Habib memandang ke arah yang ditunjukkannya. "Tak pun, biar betul kamu ni. Kamu salah dengar kot," tingkah Pak Habib.

Hakim mengetap bibir, tidak puas hati. Tak mungkin. Memang dia ada.

"Dah lewat ni, pergi balik," arah Pak Habib.

Hakim diam, tidak tahu apa yang perlu dibalas. Masih keliru. Namun diaturkan juga langkah keluar dari taman itu dengan diikuti Pak Habib yang setia di belakangnya.

"Pak Habib, takkan Pak Habib tak Nampak dan dengar dia tadi?" tanya Hakim lagi, tidak puas hati.

Pak Habib mengerut-ngerutkan dahinya. "Apa yang kamu merepek ni? Dah lewat ni, pergi balik," arah Pak Habib lagi sambil menggesa Hakim ke arah dari mana dia datang tadi.

Hakim menggaru kepala yang tidak gatal. Dia pulang juga bersama tekad baru. Malam esok aku akan datang lagi.

Keesokan harinya, Hakim keluar lagi pada waktu yang sama dengan harapan dia dapat melihat kembali dan sekiranya berpeluang, dapat berbicara dengan gadis itu. Namun Hakim hampa apabila setelah lebih sejam dia menanti, suara itu tiada lagi kedengaran. Hakim tetap setia menanti sehingga lima malam berturut-turut. Hakim tahu dia sudah jatuh cinta. Di fikirannya terbayang-bayang sepasang mata itu. Di manakah kau? Adakah benar kau bidadari dan aku hanya mampu melihat kau di dalam bayangan sahaja?

Malam keenam, Hakim sudah mengalah. Dia pasti kini gadis itu hanya bayangannya biar akal warasnya menidakkan. Jika dia ada ke mana dia? Syed Ariff yang memerhatikan gelagat Hakim selama 5 malam itu menghampiri Hakim yang sedang mengelamun di atas sofa.

"Hakim, abi tengok Hakim resah saja sekarang. Ada masalah dengan pekerja?" Syed Ariff melabuhkan punggung di sisi Hakim.

Hakim melepaskan keluhan berat. "Abi, Hakim pun tak tau nak cakap macam mana."

"Cakaplah, insyaAllah, abi akan cuba fahamkan."

Hakim berdehem kecil. Bimbang dengan penerimaan ayahnya. "Hakim, ternampak seorang perempuan di taman bunga tu 6 malam yang lalu," ujar Hakim, memulakan bicara yang teragak-agak.

"Perempuan? Di taman bunga kita?"

"Ya abi. Tapi, sekejap saja. Dia siram pokok kita, sambil mengalunkan surah An-Nisa'. Kalau abi tengok dan dengar suara dia, Hakim percaya abi pun akan terkedu. Alunan dia sangat indah dan tenang, menusuk ke dalam jiwa. Seumur hidup Hakim, Hakim tak pernah dengar alunan seindah tu yang tidak ditujukan kepada pendengaran manusia. Maksud Hakim, alunan dia kedengaran ikhlas dan penuh penghayatan. Dan lagi satu abi, dia tutup seluruh badan dia kecuali mata dia," ujar Hakim bersungguh-sungguh.

"Ok, jadi, apa yang Hakim runsingkan sekarang ni?"

Hakim diam lalu menunduk. "Hakim dah tak jumpa dia dah."

"Kenapa Hakim cari dia?" tanya Syed Ariff lagi, cuba mencungkil rahsia hati anak bujangnya.

"Hakim rasa Hakim dah jatuh hati pada dia abi," luah Hakim terus tanpa segan silu. Syed Ariff mengangguk-angguk.

"Tapi, Hakim dah tak jumpa dia. Hakim pasti memang dia wujud?" tanya Syed Ariff lagi. Hakim menggelengkan kepala.

"Entahlah abi."

Syed Ariff tersenyum lagi. Dia menepuk lembut bahu Hakim. "Hakim, kadang-kadang, mata kita nampak benda yang kita nak lihat, telinga kita dengar apa yang kita nak dengar dan mulut kita berbicara apa yang kita mahu bicarakan tanpa memikirkan natijahnya. Hakikat cinta itu sebenarnya cinta itu buta, pekak dan bisu. Cinta itu buta kerana kita tidak akan pernah tahu siapa dia yang akan memperoleh cinta kita. Cinta itu pekak kerana cinta yang suci tidak mendengar bicara manusia yang rapu. Cinta itu bisu kerana cinta itu tidak akan pernah terluah oleh kata-kata yang sia-sia. Hanya orang yang bercinta merasakannya dan hanya orang yang benar bercinta dan ikhlas bercinta akan merasakannya. Ayat-ayat cinta yang selalu terluah di bibir manusia hakikatnya kebanyakannya adalah bertunjangkan nafsu semata kerana cinta sebenar adalah buta, pekak dan bisu. Pada abi, cinta sebegitu memang sukar ditemui. Hakim, jangan biarkan perkara sebegitu merunsingkan pemikiran Hakim. Dunia ini masih banyak tawarannya."

"Maksud abi?"

"Abi mahu meminang anak perempuan Pak Habib untuk Hakim. Syafiyya namanya. Hakim setuju?" ujar Syed Ariff terus tanpa berlengah.

Hakim menunduk. Mungkin itu yang terbaik dari hidup dalam bayangan. "Hakim ikut sahaja abi. Baik pada abi, baiklah pada Hakim," ujarnya tulus. Syed Ariff mengangguk-angguk.

"Kalau begitu, abi tidak mahu berlengah lagi. Dalam 3 bulan lagi, Hakim akan dinikahkan dengan Syafiyya. Hakim mahu berjumpa dia sebelum bernikah?" Hakim tersenyum. Menggeleng.

"Hakim percaya pada abi."

"Tapi dia buta, pekak dan bisu. Betul Hakim mahu?" Hakim terdiam.

Cinta itu buta, pekak dan bisu. Mungkin Syafiyya itulah cintanya. Jodohkan di tangan Tuhan?

"Hakim terima dia bukan kerana fizikalnya tapi kerana dia Syafiyya. InsyaAllah, jika semuanya kerana Allah, Hakim tidak akan menyesal. Hakim terima dia bagaimanapun keadaannya abi. Abi uruskanlah," ujar Hakim tenang. Syed Ariff mengangguk.

Hakim mengukir senyum nipis. Harapannya Cuma perkahwinan itu kelak dirahmati dan diberkati.

Hakim berdebar kuat. Sekarang, dia akan masuk ke dalam bilik pengantin perempuan untuk upacara pembatalan air sembahyang. Pertama kali dia akan menatap wajah gadis yang sudah sah menjadi isterinya sebentar tadi, Syafiyya. Langkah kaki diatur tertib masuk ke dalam bilik yang terhias indah.

Syafiyya menanti di sisi katil, berkelubung dengan selendang emas nipis, menyukarkan pandangan Hakim. Dia mendekati, gementar jemarinya mahu membuka selendang itu.

"Assalamualaikum," ucap Hakim biar dia tahu salamnya tidak mungkin didengar dan berjawab.

Selendang yang menutupi wajah itu diangkat dan mata bertentangan. Hakim terkedu.

Gadis di taman bunga!


"Waalaikumussalam," tutur seulas bibir itu perlahan namun menusuk. Hakim tergamam. Dia tidak buta, pekak atau bisu! Hakim memandang abi di sebelah, yang tersenyum dan mengangguk.

******** "Hakim, Syafiyya bisu kerana dia tidak pernah bertutur dengan orang lelaki lain selain Pak Habib. Dia pekak kerana dia tidak pernah mendengar kata-kata yang tidak elok. Dan dia buta kerana dia tidak pernah melihat yang tak elok di atas muka bumi ini," terang Pak Habib.

Hakim terdiam, jemarinya menggenggam erat jemari Syafiyya di sisi. Pandangan mata bertaut.

"Kami memang mahu menjodohkan kamu berdua namun tak sangka Hakim terlebih dahulu bertemu Syafiyya malam itu. Kerana itulah Pak Habib dan abi mengambil keputusan untuk tidak membenarkan lagi Syafiyya bekerja dan tarikh perkahwinan pun dipercepatkan," sambung Syed Ariff pula.

"Jadi dialah penjaga kebun yang buta, pekak dan bisu itu?" ujar Hakim sambil tertawa kecil. Genggaman jari mereka bertambah erat. Syed Ariff dan Pak Habib cuma tersenyum.

Hakim memandang wajah kedua-dua ayahnya. "Abi, ayah Habib, Hakim memang orang yang paling bertuah dan bersyukur kerana dikurniakan isteri dan cinta yang buta, pekak dan bisu. Doakan kami, supaya hubungan ini sentiasa dalam rahmatNya," ujar Hakim penuh pengharapan, sambil merenung Syafiyya yang tersenyum manis di sisi.

Dalam diam dia memanjat syukur kerana ikhlasnya menghadiahkannya seorang isteri yang sempurna iman dan luaran. Alhamdulillah...

Nota Cinta

"Hari ni, saya menang pertandingan pidato di sekolah. Esok, saya ada lagi pertandingan bahas. Lusa pula, ada persidangan di UIA. Awak jaga diri sementara saya takde ye? Bukan saya tak nak mesej, tapi saya sibuk. Jangan tinggal solat."

Hafiz membaca mesej itu dengan perasaan berbunga. Wardah, gadis yang memang disayanginya dari dulu lagi. Wardah, bagi Hafiz memang sesuai dengan namanya. Wardah memang sekuntum mawar nan indah. Harum mewangi. Sukar didekati dan indah di hati.

Namun Hafiz tidak pernah bertemu Wardah. Sekadar mendengar suaranya yang lunak dan bisa menggugat hati. Bukan dia tidak berkeinginan untuk bertemu, namun tempat tinggal mereka sangat jauh. Mereka berkenalan melalui seorang kawan pada dua tahun lepas.

Wardah tersenyum. Selama 2 tahun perkenalan mereka, Hafiz menjadi permata hatinya. Wardah memang seorang wanita solehah. Namun perkenalannya dengan Hafiz menjadi titik tolak perubahannya. Dia lupa makna zina hati yang dia laungkan pada tazkirah di sekolah. Dia lupa pesan ustazah agar jangan bercinta pada usia muda, tambahan lagi untuknya yang masih bersekolah. Apatah lagi dia akan menduduki peperiksaan besar SPM pada tahun itu.

“Wa, aku tengok kau dah lain. Kau dah pandai layan lelaki kan? Aku tahu kau sukakan Hafiz tapi ingatlah Wa, cinta sejati hanya pada Allah,” Ujar Fiza, sahabat Wardah pada suatu hari.

“Fiza, aku kan masih solat? Lagipun kami berpesan-pesan ke arah kebaikan. Seperti yang dianjurkan Islam,” Balas Wardah, agak teruji.

“Aku rasa kau dah salah konsep, Wa. Dah habis ke perempuan kat sekolah ni? Ramai lagi aku tengok yang tudung ‘pakai buka’, berkepit dengan jantan sana sini, kau tak nak berpesan-pesan ke arah kebaikan untuk tu ke Wa? La taqrabuzzina, janganlah kau mendekati zina. Wa!”

“Aku harap kau janganlah masuk campur. Soal zina, tak perlu kau ingatkan aku. Aku dah cukup faham maksud itu. Kami tak pernah bertemu. Macam mana kami berzina?”

“Kau dulu pernah beri tazkirah soal zina hati. Takkan lupa? Bila hati saling mengingati, aku tengok kau dah lalai! Lagipun, Allah larang kita mendekati zina, bukan melakukan zina. Kau belum terlewat untuk bertaubat. Lupakanlah Wa, apa tak cukupkah Allah sebagai kekasih kau? Dia yang menemani kau siang malam, Yang Maha Mendengar setiap luahan hati?”

Wardah terdiam. Namun baginya ungkapan Fiza hanya mencurah air ke daun keladi. Dia ingin Hafiz menjadi miliknya!


Hafiz menikmati makan malamnya dengan lahap. Hari ini kepenatan menjeratnya kerana terlalu sibuk dengan tugas kepimpinan di sekolahnya. Namun, Hafiz bersyukur diberi peluang sebegitu. Dia tidak mengeluh dengan tugasan seperti itu. Baginya, segala-galanya adalah tanggungjawab yang diamanahkan. Dan tugasnya adalah sebagai pelaksana.

Mungkin hari-hari Hafiz tidak seindah ini jika Wardah tidak menemani hidupnya. Walaupun Hafiz menyedari hakikat bahawa mereka menghampiri zina, Hafiz sentiasa terpukau dengan janji manis Wardah bahawa mereka hanya berkawan. Namun perasaannya sukar ditepis sama sekali. Dia manusia biasa yang tidak mampu menafikan perasaan cinta yang mula bertunas dalam hati.

Telefon hafiz berdering.

Pantas Hafiz menggapai telefon bimbit di meja. Panggilan dari Wardah

“Hafiz?”

“Ya, saya,”

“Awak sayang saya?”

“Emm, kenapa awak tanya?”

“Saya tanya sebab nak awak jawab,”

“Wardah, awak perempuan terbaik yang saya kenal. Tak mungkin tiada perasaan cinta saya terhadap awak,”

“Awak cintakan saya?”

“Ya, saya cintakan awak,”

Dan malam itu menjadi saksi antara dua jiwa itu. Sesungguhnya begitulah syaitan merasuki kita, secara terang-terangan ia bukanlah cinta yang hina, namun menjebakkan dua insan itu ke alam yang melalaikan.

“Aku nampak semalam kau keluar dengan Ina?” soal Hafiz curiga. Perbuatan sahabatnya, Aiman, menggugat ketenangan dan kewibawaannya sebagai seorang sahabat karib.

“Jadi?” Aiman seolah-olah mencabar Hafiz.

“Aku tak suka. Perkara tu Allah larang,”

“Hafiz, Hafiz! Mentahnya pemikiran kau. Macam mana pula soal hubungan kau dengan Wardah? Kau ingat aku tak tahu? Habis, yang kau bercinta dengan dia tu? Ada Allah suruh?”

“Aiman, kami bercinta cara Islam. Sekurang-kurangnya lebih baik daripada engkau!”

“Ahh, bercinta secara Islam. Kenapa ramai yang kabur dengan persoalan itu? Bukankah itu tipu daya syaitan. Walaupun aku dengan Ina, aku dan dia tidak hipokrit macam kau! Ketua pengawas apa kau ni? Sebelum kau kata baju orang lain kotor, tengok baju sendiri, itu nasihat aku!” kata Aiman berang sambil berlalu pergi.

Hafiz tertunduk di situ, di sebuah taman berhampiran rumahnya. Dia menundukkan kepalanya. Perlahan-lahan, dia berjalan pulang. Dalam perjalanannya, dia bermuhasabah. Ya Allah, dosakah aku? Aku marah apabila sahabatku menghampiri zina namun aku juga begitu! Aku ke surau namun aku juga menghampiri lembah syaitan. Manusia apakah aku?

Malam itu Hafiz bertahajud. Bermunasabah dan merenungi segala dosa-dosanya. Bagaimana suara Wardah yang mencairkan hatinya, dan bagaimana dia asyik melayari alam percintaan dengan Wardah. Dia senang begitu, bermunajat sendirian dan mengadu pada Allah. Biasanya pada malam-malam begitu masanya dihabiskan dengan menelefon Wardah hingga lewat pagi. Namun malam itu dia selesa menutup telefonnya dan menyerah pada Allah. Malam itu juga dia harus membuat keputusan.

“Eeesh! Mana Hafiz ni! Biasanya dia telefon aku, ni, mesej pun takde! Telefon pulak off! Dia ada perempuan lain ke?” rungut wardah sendirian. Hatinya gelisah. Walaupun jam menunjukkan pukul empat pagi, namun dia setia menunggu Hafiz. Dia mahu tunjukkan pada Hafiz bahawa dia gadis yang sabar, mungkin, Hafiz mempunyai urusan yang perlu diselesaikan.

Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Dia menerima mesej daripada Hafiz.

“Wa, jangan tipu saya lagi! Cukup sampai di sini hubungan kita!”

Wardah terkesima. Dia buntu, apa yang Hafiz maksudkan? Perlahan-lahan, dia membalas mesej itu.

“Apa maksud awak? Awak tak sayang saya?”

“Sudahlah Wa. Pergilah dari hidup saya. Saya tak perlukan perempuan macam awak lagi!”

Wardah mula menitiskan air mata apabila mesejnya tidak dibalas. Dia beberapa kali menelefon Hafiz tetapi tidak berjawab. Kali ini dia pasti, Hafiz akan meninggalkannya tanpa sebab!

3 bulan berlalu dengan perit. Wardah sedaya upaya melupakan Hafiz. Setiap hari Wardah memeriksa peti emelnya sejak Hafiz memadam telefonnya. Hafiz pasti akan meninggalkan sesuatu! Hafiz bukan sejahat lelaki lain. Wardah tahu itu semua.

Hinggalah pada suatu hari, Wardah memperoleh berita yang dinanti-nantikan. Terketar-ketar jarinya tatkala membuka emel yang bertajuk ‘Nota Cinta’ itu…

Subject:

Nota Cinta

From:

“Hafiz Haikal”

To:

wardah@yahoo.com


Assalamualaikum...

Kehadapan Wardah, mawar yang dirahmati Allah

Mungkin semasa awak membuka emel ini perasan awak sangat jelik, benci, kecewa dan banyak lagi terhadap saya.Saya faham itu semua, tapi apa saya harus buat, ini saya lakukan semua untuk mencari redha Allah. Saya pun tak tahu nak mula dari mana, tapi saya harap awak faham apa yang saya tulis.

Sebenarnya mesej yang saya hantar pada pagi itu memang dirancang. Mesej itu sengaja saya reka untuk saya jauhkan perasaan cinta saya kepada awak. Mungkin awak terkejut dengan sikap saya, tapi ada makna di sebalik semua tu.

Sebab utama saya hantar mesej macam tu sebab nak biar awak benci kat saya dan menjauhkan diri dari saya. Kenapa saya nak jauhkan diri dari awk?.. Selama kita menzahirkn rasa cinta dan sayang semenjak tu la hati saya rasa lain. Untuk pengetahuan awak bila saya lafaz sayang dan cinta kepada awak dan awak pula membalasnya saya terasa jiwa saya jauh dari Allah, nafsu syahwat saya naik, rasa ke arah maksiat tu ada walaupun kita tak pernah bersua. Agak remeh kan kalau orang lain baca, tapi untuk saya yang mempunyai iman yg rendah macam2 boleh jadi kat saya. Mungkin awak sebagai wanita tak rasa keadaan begitu tapi saya seorang lelaki memang menyebabkan saya lemah. Saya takut akan Allah, kekadang saya nasihatkan kawan saya jangan buat benda 2 tapi saya buat jugak. Orang pandang saya selalu pakai songkok kat sekolah macam alim, pergi masjid tapi buat benda tu, tak ke saya ni munafik?

Saya sedar apa yang saya buat mendukacitakan hati awk. Hati mana yang boleh terima difitnah begitu. Tapi bila saya buat begitu saya juga rasa berdosa sebab memfitnah wanita yang solehah. tapi apa kan daya desakan hati.

Awak memang wanita hebat, setiap kali awak menceritakan kejayaan awak memang saya cemburu. Kekadang saya fikir kenapa saya tak boleh jadi macam awak. Tapi saya tetap bersyukur dapat kawan dengan awak. Serius saya katakan awak sahajalah kawan wanita yang paling rapat dengan saya, yang lain cuma kawan biasa, jarang saya berhubung dengan mereka.

Untuk terakhir sekali, perasaan cinta dalam diri saya terhadap awak memang tertanam dalam hati saya, sebab awak cinta pertama saya. Saya tak pernah bercinta. Masalah yang saya hadapi sekarang mcm saya katakan di atas tu la. Walaupun agak remeh tapi saya pandang serius terhadap benda ni. Sebab Allah tak redhai sebuah hubungan selain daripada pernikahan. Saya harap dengan penjelasan saya awak akan faham lebih-lebih lagi awak belajar dlm aliran agama. Sekiranya kita ada jodoh tak kan ke mana. Itu janji Allah.


Wassalam..
Ikhlas dari hamba yg mencari redha Allah:
HAFIZ HAIKAL

Malam itu Wardah bersujud, pada Allah dia serahkan diri… Hari-hari dilaluinya dengan redha, tanpa rasa dendam sedikitpun terhadap Hafiz. Nota cinta Hafiz telah mengubah hidupnya. Hinggalah Wardah memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaannya dan Berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti al-Azhar, Mesir.

Wardah merenung jauh ke Tasik Titiwangsa yang damai itu. Dilihatnya pasangan-pasangan muda berpegangan tangan tanpa segan-silu. Dia bermuhasabah dalam hati. Andai satu ketika dulu dia hanyut dibuai cinta dengan Hafiz, pasti gelaran doktor pakar mustahil disandangnya. Sejenak dia memikirkan kata-kata Umminya semalam…

“Wa, bila nak menikah? Ummi teringin nak bermenantu,”

Soalan Ummi itu menggegar tangkai hati Wardah. Kenangan yang cuba diluputkannya bertahun-tahun dahulu kembali mengusik. Jauh di sudut hati, Wardah masih mengharapkan Hafiz yang entah ke mana itu. Dengan menarik nafas panjang, Wardah menyahut,

“Sesiapa sahaja yang Ummi carikan, dialah jodoh Wardah,”

Wardah merenung cincin perkahwinan di jarinya. Cantik! Sekali pandang Wardah tahu, suaminya pasti dari kalangan orang berada. Hatinya masih berdebar-debar. Sejak akad nikah tadi, dia masih belum melihat wajah suaminya. Walaupun Hafiz berada dalam hatinya, dia redha. Biarlah, pilihan Ummi pasti yang terbaik buatnya. Wardah memejam mata rapat-rapat, ditahan air matanya dari menitis. Dia ingin menjadi bintang timur buat suaminya. Biarlah dia seorang…

“Wardah Alia binti Syukri, sesungguhnya cinta itu lebih indah melalui sebuah ikatan mulia bernama perkahwinan…” Bisik suaminya, suara yang mendamaikan hatinya.

Wardah membuka matanya, dan menatap wajah penaung jiwanya kini… Hafiz Haikal…


Menanti Di Raudah.....


Angin bukit tinggi membelai lembut pipi Akid. Angin yang berpuput dari puncak bukit tinggi di sedut dalam-dalam hingga masuk penuh ke pangkal jantung. Dia bagaikan menahan angin itu dan merasa nikmatnya dan kemudian dia melepaskan kembali perlahan-lahan angin itu dengan nafasnya. Raudhah memejamkan matanya. “Dari Dia semua datang, dan kepadanya semua dikembalikan.”

“Ukhti, sudikah ukhti saya lamar menjadi pedamping hidup saya, menyempurnakan kekurangan saya, menjadi makmum untuk bakal jemaah saya?” Terngiang-ngiang soalan itu di benak kepalanya.

“Asif akhi, saya tidak dapat menerima lamaran akhi.”

“Kenapa?”

“Sudah ada yang datang melamar saya sebelum akhi datang melamar saya.”

“Dan ukhti menerimanya?"

Raudhah tersenyum namun lekas-lekas dia sembunyikan senyumnya.

“Itu satu lamaran yang tidak mungkin saya tolak akhi. Lamaran yang sudah lama saya menantikannya.”

“Siapa ukhti, siapa lelaki bertuah itu, kalau boleh saya tahu.”

“Untuk apa?”

“Untuk saya tahu, bagaimana dia bisa membuka pintu hati ukhti.”

“Dia tidak membuka pintu hati saya, akhi. Malah saya yang membuka hati saya menanti dan menerima lamaran itu.”

Terngiang-ngiang di benak Akid perbualannya dengan Raudhah semasa dia ingin melamarnya tiga bulan lepas. Tiap-tiap bait kata yang keluar daripada mulut Raudhah bermain di benaknya, tidak pernah gagal meleraikan butir-butir air mata Akid.

“Beruntung engkau ukhti kerana menerima lamarannya.”

Akid menangis semakin hebat. Dia malu kerana kebodohannya sendiri. Selendang ungu yang berbalut dilehernya tiba-tiba menutup separuh wajahnya. Akid menarik selendang itu dan dilepaskan daripada membalut batang lehernya. Dia teringat bagaimana dia mendapat selendang itu daripada Raudhah. Bukan dengan cara yang membanggakan atau seronok untuk dikenang.

#####

Malam itu, selepas dua bulan dari tempoh dia melamar Raudhah, Akid hilang separuh kesabaran dan kewarasan berfikir. Dia menunggu Raudhah di luar kawasan kediaman Puteri. Dirinya dikuasai amarah kerana tidak dapat menerima penolakan Raudhah dan Raudhah tidak pula memberitahu kepadanya siapa lelaki yang melamarnya terlebih dahulu.

“Raudhah, tunggu sebentar!”

Raudhah terkejut mendengar suara Akid di dalam kawasan kediaman Puteri. Dia menjadi bertambah malu bila kelakuan Akid memanggil dan menunggunya di kawasan itu dilihat oleh pelajar-pelajar lain. Raudhah cuba untuk mengelak daripada Akid.

“Raudhah, tunggu sebentar!!!”. Sekali lagi Akid memanggilnya. Lebih keras suaranya.

“Ada apa akhi?”

“Jelaskan pada saya, siapa lelaki yang melamar awak sebelum saya dan kenapa lamaran saya di tolak?”

“Asif akhi, saya tak dapat jelaskan pada akhi siapa yang melamar saya dan kenapa saya tidak dapat menerima lamaran akhi. Dengan cara akhi sebegini, lagi membuatkan saya yakin, akhi tidak akan dapat menerima jawapan saya. Asif akhi, saya tak boleh berlama-lama di sini. Begitu juga akhi, sini kediaman Puteri. Akhi sepatutnya jelas tentang itu. Assalamu'alaikum akhi.”

“Raudhah, tunggu!”

Raudhah berjalan meninggalkan Akid. Dia ingin lekas segera beredar dari situ. Akan tetapi Akid masih berdegil dan tidak berpuas hati dengan jawapan Raudhah. Akid cuba melarang Raudhah beredar sebelum dia mendapat jawapannya. Akid secara tidak sengaja menarik bahu Raudhah dan selendang yang dipakai Raudhah tercabut dan berada di dalam genggaman Akid.

Raudhah jadi bertambah malu kerana kelakuan Akid. Secara tidak sengaja dia menampar pipi Akid.

“Asif akhi, saya tidak sengaja…"

“Tak…tak mengapa Raudhah, saya yang bersalah.”

“Akhi, saya lebih tenang mendengar akhi memanggil saya ‘ukhti’ daripada memanggil nama saya.”

Akid terdiam. Selendang Raudhah masih di tangannya.

“Akhi, baiklah. Jika akhi mahu tahu siapa yang melamar saya. Jika itu jawapan yang akan membuatkan akhi beransur dari sini. Saya akan beritahu akhi. Datanglah ke kawasan kediaman Puteri ini tepat malam sabtu selepas azan pertama solat Isya’ tiga hari dari sekarang. Nanti akhi akan tahu siapa yang melamar saya dan kenapa saya menerima dan tidak dapat menolak lamarannya. Sebelum hari itu, akhi janganlah datang ke sini atau bertanya apatah lagi berfikir tentang saya. Selendang itu, akhi simpanlah sebagai hadiah daripada saya, Assalamua'laikum, jaga diri jaga iman ya akhi…”. Raudhah beredar dari situ.

Akid masih terpana di kawasan kediaman Puteri dengan selendang Raudhah di tangannya dan bekas tamparan Raudhah di pipinya.

#####

Tepat tiga hari selepas masa yang diberitahu Raudhah kepadanya, dia datang ke kawasan kediaman Puteri. Namun Akid datang sebelum Isya kerana dia begitu penasaran untuk melihat siapa yang telah berjaya membuka pintu hati Raudhah.

“Assalamualaikum.”

Akid tersedar dari lamunannya selepas mendengar orang memberi salam. Dia lekas menjawab dan melihat seorang lelaki sebayanya berdiri tidak jauh darinya.

“Tunggu apa akhi di sini, bukankah sini kawasan kediaman Puteri?”. Lelaki itu bertanya kepadanya.

“Akhi tanyakan saya, tapi akhi sendiri buat apa di sini?”

“Saya ada sedikit urusan di sini selepas isya' nanti, jadi sebab itu saya ke sini.”

“Oh? Urusan dengan penghuni asrama ini ke?”

“Lebih kurang, begitulah. Akhi masih belum menjawab pertanyaan saya, apa yang akhi buat di sini?”

“Saya menunggu seorang penghuni asrama ini. Saya datang kerana hendak tahu siapa yang melamarnya sebelum saya dan kenapa dia menerima lamaran itu.”

“Oh, begitu ya. Mungkin akhi ini orang yang dimaksudkan seorang penghuni di sini kepada saya.”

“Maksud akhi?”

“Tadi semasa saya baru tiba di sini, ada seorang penghuni asrama ini mengirimkan sesuatu kepada saya. Katanya akan ada seorang lelaki menunggunya di sini dan dia meminta saya menyerahkan ini kepada lelaki itu.” Lelaki itu menghulurkan sepucuk surat kepada Akid.

“Asif akhi, saya perlu beredar kerana urusan saya hampir tiba masanya, InsyaAllah nanti pasti kita akan berjumpa lagi. Assalamu'alaikum akhi, jaga diri jaga iman." Lelaki itu beredar sebelum sempat Akid menjawab salamnya.

Akid membuka surat itu dan membacanya perlahan-lahan.


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang,

Assalamu'alaikum akhi Akid, apa khabar akhi? Moga terpelihara kesihatan dan iman hendaknya. Saat akhi membaca surat ini, saya berkemungkinan sedang mempersiapkan diri saya untuk persiapan terakhir sebelum datang menerima lamaran yang saya nantikan. Akhi tak perlu risau kerana tak lama daripada akhi membaca surat ini, akhi akan tahu siapa yang melamar saya dan kenapa saya tak menolak lamarannya.

Akhi, saya ingin sampaikan beberapa pesanan kepada akhi sebelum saya tidak lagi boleh berpesan kepada akhi kerana terikat dengan lamaran saya kerana setelah saya menerima lamaran itu, tak mungkin saya akan dapat berhubung dengan akhi.

Pertama-tamanya, saya ingin berpesan kepada akhi, satu rahsia mengenai kebahagiaan. Saya faham mungkin tindakan akhi kepada saya beberapa malam sebelum ini kerana akhi tidak dapat menerima penolakan saya dan hati akhi tidak tenteram dan bahagia. Jadi saya ingin kongsikan kepada akhi apa itu kunci kebahagiaan. Kunci yang akan dapat membuatkan akhi mendapat kebahagian ialah tidak lain dan tidak bukan dengan menerima dengan percaya dengan sepenuh kepercayaan akan Qada Qadar. Tak boleh tak. Jika akhi menolaknya, maka akhi menolak satu daripada rukun keimanan dan rukun iman memang kita mesti menerima kesemuanya bukan sebahagian sahaja daripadanya.

Kedua, jika akhi kasihkan kepada seseorang, kasihkanlah dia kerana Allah, kerana dengan mengasihi seseorang kerana Allah akan dapat membuatkan akhi selesa di sana dan berkumpul dengan orang-orang yang berkasih kerana-Nya dan mendapat terus Rahmat secara langsung dari-Nya di sana kelak.

Ketiga, apa–apa pun yang akhi cakap, fikir, rasa, dan lakukan, ingatlah supaya semuanya berasas kerana dan untuk-Nya semata-mata tidak boleh kerana selain-Nya, kerana perbuatan seperti itu akan mengelakkan akhi daripada menyekutukan-Nya. Apa akhi mahu menyekutukan-Nya? Tentulah tidak bukan.

Dan terakhir, saya ingin akhi tahu, sejujurya saya amat senang dan berbahagia kerana akhi melamar saya dan akhi tidak terlewat melamar saya, malah, akhi lah orang yang pertama melamar saya dan saya sangat senang untuk menerimanya. Cuma lamaran yang saya terima ini, tidak memungkinkan saya untuk menerima lamaran akhi.

Asif akhi, saya tak punya banyak masa lagi untuk menulis. Saya teramat perlu untuk mempersiapkan diri saya. Akhi, jika kasihkan saya, kasihkanlah saya kerana Allah. Maka insyaAllah dengan rahmat-Nya kita akan berjumpa semula di sana akhi.

Assalamu'alaikum dan terima kasih kerana lamaran akhi, jika tidak kerana lamaran yang saya tunggu ini, tentu sekali saya akan menjawab ‘ya’ pada lamaran akhi.

Akid tersedar dari membaca surat bila azan isya' berkumandang. Dia cepat-cepat melipatkan surat itu dan menyimpankannya di dalam poket bajunya dan berlekas-lekas untuk bersolat. Seusai azan siap berkumandang, terdengar jeritan dari kediaman Puteri. Akid tiba-tiba berasa tidak enak. Dia hendak ke sana, tetapi kerana itu adalah kawasan larangan untuk lelaki, Akid membatalkan hasratnya. Dia menanti sahaja di luar dengan hati yang berdebar-debar. Tidak lama selepas itu, Akid melihat beberapa orang ustaz dan ustazah bergesa-gesa ke kediaman Puteri. Akid sempat menahan seorang ustaz yang seusia dengannya.

“Asif akhi, kenapa akhi dan semua orang bergegas ke kediaman Puteri?”

“Ada seorang penghuni jatuh rebah selepas usai mengangkat wuduk.”

“Jatuh rebah?”

“Meninggal dunia akhi, ada seorang pelajar meninggal dunia selepas mengangkat wuduk, Raudhah namanya. Asif, saya perlu segera ke sana, Assalamu'alaikum akhi.”

Jantung AKid tiba-tiba bagai terputus dari tangkainya. Kakinya lemah. Dia terduduk.

“Satu dari kunci kebahagiaan ialah menerima Qada Qadar…”.

Akid memegang dadanya.

“Jika kasihkan seseorang, kasihkannya kerana Allah…”

Akid merasakan dadanya bagai dihiris-hiris mata pisau.

“Sejujurnya saya amat senang dan berbahagia kerana akhi melamar saya…"

Akid merasakan matanya bergenang.

“Akhi, jika kasihkan saya, kasihkanlah saya kerana Allah. Maka insyaAllah dengan rahmat-Nya kita akan berjumpa semula di sana akhi…”

Akid meraup wajahnya. Matanya bergenang hebat. Dadanya lumat dihiris-hiris.

“Raudhah. Namanya Raudhah. Dia meninggal dunia selepas mengangkat wuduk.”

Akid menangis semahu-mahunya. Surat di dalam poketnya dikeluarkan dan digenggam erat-erat. Selendang ungu yang dibawa dengan hasrat untuk dipulangkan ditekup di wajahnya. Akid menangis semahu-mahunya….

#####

Akid tersedar daripada lamunannya. Dia melihat selendang ungu di tangannya. Dia menghirup angin bukit tinggi dalam-dalam dan dilepaskannya kembali.

Daripada Dia kita datang, kepada Dia kita kembali. Raudhah, terima kasih kerana mengajarku erti cinta sebenar-benarnya…"

Terima kasih untuk semuanya Raudhah. Terima kasih atas segalanya Allah.


 

Template by BloggerCandy.com