Friday, December 23, 2011

~ Kisah Siakap dan Senohong..~


Dalam sebuah kampung, terdapat sebuah rumah usang yang di diami oleh satu keluarga yang hidup serba kekurangan. Terdapat 4 penghuni di dalam rumah usang tersebut, iaitu Pak Tam, Mak Tam dan dua orang anak lelakinya, Senohong dan Siakap. Walaupun hidup dalam serba kekurangan namun, mereka menikmati indahnya kehidupan dengan bahagia sekali.

Pada suatu petang, sekembalinya Mak Tam dari sawah padi, dia melihat kedua anaknya sedang bermain berkejaran di bawah pokok. Seulas senyuman mekar di bibir Mak Tam melihat telatah anak lelakinya. Mak Tam duduk di pangkin bawah pohon senduduk sambil matanya memerhati tingkah anak-anak nya.
" Ibu..." jerit Senohong yang mulai sedar akan kehadiran ibunya. Lantas dia berlari mendapatkan ibunya. Siakap juga turut meluru ke arah Mak Tam. Gelak ketawa mengiringi larian mereka. Mak Tam tersenyum senang hati.
" Ish..anak-anak ibu ni dah makan ke?" soal Mak Tam sebaik sahaja kedua anaknya sudah berada dalam pelukannya.
Siakap dan Senohong menggeleng serentak. Mak Tam mengerutkan dahi. Timbul rasa kasihan memikirkan anaknya yang masih belum makan sedangkan sudah lewat petang.
" Siakap..kenapa tak makan? kan ibu sudah pesan, makanan ada di bawah tudung saji." Mak Tam memandang Siakap, anak sulungnya yang berumur lapan tahun.
" Kami tunggu ibu dan ayah balik." jawab Siakap perlahan. Mak Tam memandang lembut ke arah anaknya. Rasa bersyukur di kurniakan anak yang begitu prihatin. Mak Tam mengusap kepala Siakap dan Senohong.
" Mari masuk. Mandi dan makan." ajak Mak Tam. Siakap dan Senohong menjerit kegembiraan. Mereka berlari masuk ke rumah. Mak Tam ketawa halus. Tiba-tiba dia teringat akan suaminya yang masih belum pulang. Matanya memandang ke arah sawah yang luas terbentang.

Sewaktu Mak Tam sibuk melayan anak-anaknya menjamu selera, kedengaran suara memberi salam dari pintu rumah. Mak Tam tahu itu pasti suaminya lantas kakinya melangkah laju untuk menyambut kepulangan suami tersayang. Pak Tam mengukirkan senyuman sebaik sahaja melihat seraut wajah yang setia bersamanya waktu susah dan senang.
" Abang..lewat abang balik hari ni." Mak Tam menyalami tangan suaminya.
" Hari ini abang habiskan petak yang hujung. itu yang lambat sikit." Pak Tam duduk di tangga rumah bagi melepaskan rasa penatnya. Mak Tam berlalu ke dapur dan membawakan segelas air buat suaminya.
" Terima kasih Tam." air yang dibawa oleh Mak Tam diteguk rakus. Dahaga sungguh. Mana tidaknya sejak matahari tegak di kepala lagi dia sudah membanting tulang di sawah. Menanam padi dan kerja-kerja kampung merupakan sumber pencarian rezeki mereka sekeluarga. Meskipun dia melarang Mak Tam untuk bekerja namun isterinya itu berdegil hendak turut membantunya. Katanya, biarlah susah senang bersama. Akhirnya, Pak Tam membenarkan saja Mak Tam bekerja.
"Anak-anak mana Tam?" soal Pak Tam apabila tidak kedengaran suara Siakap dan Senohong.
" Mereka di dapur bang. Makan."jawab Mak Tam.
Pak Tam mengerutkan dahi. " Kenapa baru makan Tam?"
" Anak-anak tunggu kita makan sekali."
Pak Tam menghela nafas panjang.
" Mari makan bang.."
Pak Tam mengangguk. Di dapur kelihatan Siakap dan Senohong begitu berselera makan biarpun hanya telur goreng dan ikan keli menjadi santapan.
" Ayah...." dengan mulut yang penuh, Senohong memanggil ayahnya sebaik ternampak kelibat Pak Tam. Senohong memang seorang anak yang manja. Pak Tam duduk bersila disebelah Senohong dan Siakap. Mak Tam menyendukkan nasi untuk Pak Tam. Pak Tam dan Mak Tam menjamu selera diselangi dengan celoteh anak lelaki.

No comments :

Post a Comment

 

Template by BloggerCandy.com